Saturday, 3 August 2013

SISTEM BERAJA DI THAILAND sem 3


PENGENALAN
Sebelum campur tangan kuasa-kuasa Barat pada abad ke-19, negara-negara Siam telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Sistem ini meletakkan raja  sebagai ketua pemerintahan tertinggi sesebuah negara, menguasai seluruh ekonomi negara dan menjadi golongan yang menduduki lapisan teratas dalam stratifikasi sosial masyarakatnya.
Raja bertanggungjawab melantik pembesar-pembesar negara, menggubal dan melaksanakan undang-undang, mengetuai tentera dan memonopoli ekonomi negaranya seperti Dinasti Chakri di Siam.
Tujuan utama sistem ini diamalkan untuk menjamin keamanan, kesejahteraan, keselamatan keharmonian dan kemakmuran rakyat negara tersebut.

Sistem Beraja di Siam
Kedudukan dan Gelaran
Pemerintah Siam menggunakan gelaran raja dan dinasti yang mentadbir pada abad ke-19 ialah Dinasti Chakri dan menggunakan gelaran Rama. Raja-raja Thai menggunakan gelaran Chao Paendin (Yamtuan Tanah) dan Chao Chiwit (Yamtuan Nyawa).
Raja menduduki hierarki tertinggi dalam masyarakat, menikmati pelbagai keistimewaan, dianggap suci dan memerintah berdasarkan konsep “devaraja” atau “dharmaraja” dan perlu menghayati dan melakukan perlakuan yang baik supaya dicontohi oleh rakyat.
Raja juga dianggap sebagai jelmaan dewa dan dikurniakan sifat-sifat ketuhanan seperti memiliki payung putih, dikurniakan alat-alat kebesaran yang dipercayai mempunyai kesaktian seperti pedang. Baginda juga melantik golongan sami Buddha sebagai penasihat agama.
Simbol kebesaran Raja Siam dapat dilihat dari segi pemilikan binatang suci iaitu gajah putih yang dianggap sebagai harta raja. Rakyat tidak dibenarkan mengganggu dan menggunakan gajah, sesiapa yang engkar akan dihukum. Sebaliknya sesiapa yang dapat menangkap dan menyerahkan gajah akan menerima anugerah yang lumayan daripada raja.

Peranan dan Kuasa Raja
Politik dan Pentadbiran
Raja mengetuai pemerintahan kerajaan dan berkuasa mutlak, merupakan ketua kehakiman, perundangan dan ketenteraan serta menentukan dasar-dasar luar negara.
Raja tinggal di tempat suci yang dipilih khas. Istana dianggap sebagai pusat kerajaan, lambang pusat alam atau orde kosmos dan tempat Tuhan.
Raja berkuasa melantik pembesar-pembesar terutamanya pembesar di peringkat pusat. Mereka terdiri daripada golongan kerabat di raja yang dikenali sebagai Chao.
Raja mempunyai keistimewaan tertentu seperti menjatuhkan hukuman bunuh, mengampunkan pesalah dan lain-lain.

Ekonomi
Raja berkuasa ke atas semua tanah kerajaan dan menganugerahkan tanah kepada kerabat diraja untuk ditadbir.
Menguasai segala hasil negara seperti pungutan cukai, hasil pertanian, hasil bumi, perdagangan dan lain-lain. Pembesar-pembesar menjadi orang perantaraan antara raja dengan rakyat untuk menjalankan kegiatan ekonomi raja. Bagi menjamin bekalan ekonomi dan kawasan pedalaman berterusan, raja Siam mewujudkan hubungan baik dengan kawasan pengeluaran ekonomi.

Sosial
Raja dianggap sebagai pelindung, penaung dan bertanggungjawab ke atas perkembangan agama Buddha dan kesusasteraan negaranya.
Baginda juga mengekalkan adat resam tempatan seperti adat tidak boleh melihat raja, adat meniarap di depan raja dan lain-lain.
Raja juga melindungi rakyat daripada perbuatan penganiayaan, menjamin kebahagian rakyat dan perlu mempunyai moral yang tinggi. Sekaligus rakyat akan memberi kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada raja.

No comments:

Post a Comment